PORT DICKSON 19 Okt. – Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan para pegawai di daerah ini bagi mendapatkan maklumat mengenai pembangunan dan pertadbiran Port Dickson. Perjumpaan bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd. Zamri Mohd. Esa dan pegawai daerah itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri, Dr. Razali Ab Malek. Yang turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, M. Ravi dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional negeri, Choo Ken Hwa. Sesi taklimat di Kompleks Pentadbiran daerah itu merupakan program rasmi pertama Anwar di Port Dickson selepas memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen berkenaan pada Sabtu lalu. Beliau kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Kampung Paya di sini dan akan menghadiri majlis penyerahan mesin dialisis dan alat bantuan kecemasan di Hospital Port Dickson petang ini. – UTUSAN ONLINE
Leave a Reply